4 Jun 2017 - 06:48
Sanders Nyatakan Sokongan Kepada Pemimpin Parti Buruh U.K

Senator Amerika Syarikat, Bernie Sanders telah menyatakan sokongan beliau kepada pemimpin Parti Buruh United Kingdom, Jeremy Corbyn menjelang pilihan raya Britain.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Senator Amerika Syarikat, Bernie Sanders telah menyatakan sokongan beliau kepada pemimpin Parti Buruh United Kingdom, Jeremy Corbyn menjelang pilihan raya Britain.

Bercakap di dalam majlis mempromosi bukunya yang dianjurkan di pusat peranginan Brighton, ahli politik berusia 75 tahun itu berkata bahawa beliau amat terpesona dengan pemimpin Parti Buruh U.K dan juga usahanya untuk mentransformasi parti tersebut.

"Apa yang menakjubkan... ialah (keberanian) beliau berhadapan dengan kepimpinan Parti Buruh, (usahanya untuk) mencapai golongan akar umbi parti dan percubaannya untuk merubah parti tersebut," kata Sanders pada hari Khamis sejurus selepas turun daripada kapal terbang.

Sanders yang sebelum ini bertanding untuk merebut pencalonan Parti Demokrat di dalam pilihan raya Presiden A.S tahun 2016 turut memuji Corbyn kerana berani mengutarakan isu berkaitan perbezaan kelas. Beliau turut menambah dengan mengatakan bahawa kebanyakan ahli politik cuba sedaya-upaya untuk tidak membahaskan isu yang dianggap sensitif itu.

"Saya juga takjub dengan keinginan beliau untuk membincangkan isu berhubung (perbezaan) kelas... Terlalu ramai orang yang cuba lari daripada membincangkan perihal perbezaan pendapatan dan perbezaan kekayaan yang wujud di A.S, U.K dan seluruh dunia," kata Sanders.

Sanders juga mengatakan bahawa keadilan sosial adalah natijah daripada perubahan positif yang dilakukan oleh ahli politik dan juga para pembuat polisi.

"Tugas kami adalah membina ekonomi yang berfungsi untuk kelas pekerja -yang mengangkat orang miskin, bukannya menjadikan orang kaya terlalu kaya sekaligus membiarkan yang lain di belakang... Kita tidak akan mampu melakukan perubahan seperti itu melainkan kita berhadapan dengan perbezaan yang wujud ketika ini," kata beliau.

Sanders turut menyamakan dirinya dengan pemimpin Parti Buruh Britain dan menyatakan perihal persamaan yang wujud di dalam beberapa perkembangan yang berlaku di A.S dan U.K.

Beliau berkata bahawa pemilihan Donald Trump sebagai presiden dan keputusan warga Britain untuk keluar dari EU adalah natijah daripada ketidak adilan sosial yang wujud di dalam masyarakat,

"Perkara ini bukan isu warga Amerika atau warga Britain semata-mata - perkara ini adalah isu antara bangsa... Ini adalah isu global yang perlu kita tangani," katanya lagi.

Beliau juga mengatakan bahawa Corbyn peka terhadap isu tersebut dan berusaha untuk menanganinya. -ABNA24

/315